KABUL 22 Mei - Pesawat-pesawat tentera asing yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas kubu kuat Taliban hari ini dan dipercayai menyebabkan hampir 60 pejuang dan 16 orang awam terbunuh. Bagaimanapun penduduk di kawasan terbabit mendakwa, 35 orang awam terkorban.
Serangan itu dilancarkan di daerah Panjwai, wilayah Kandahar yang menjadi medan pertempuran sengit antara Taliban dengan tentera Afghanistan dan asing minggu lalu.
''Tentera pakatan telah melancarkan serangan udara sebagai sebahagian daripada operasi bersepadu ke atas kubu kuat Taliban,''kata jurucakap pasukan tentera pelbagai negara, Mejar Scott Lundy.
''Kami percaya dapat membunuh hampir 60 anggota Taliban,'' katanya.
Bagaimanapun Lundy tidak dapat mengesahkan laporan mengenai kematian di kalangan orang awam.
Keganasan dilaporkan semakin meningkat di Afghanistan sejak Rabu lalu terutamanya di selatan dan timur.
Taliban yang digulingkan oleh tentera pakatan diketuai AS kerana keengganan menyerahkan pemimpin alQaeda, Osama bin Laden telah mempertingkatkan tentangannya sejak kebelakangan ini dalam usaha menyingkirkan tentera asing dan kerajaan Afghanistan.
|