WELLINGTON 17 Mei - Beberapa gempa bumi sebenar melanda rantau Pasifik ketika saintis menjalankan ujian sistem amaran tsunami di rantau itu sepanjang hari ini. Gempa bumi itu termasuk satu ke utara New Zealand, tiga dekat Indonesia dan dua berhampiran negara kepulauan terpencil, Tonga.
Bagaimanapun tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan akibat kejadian gempa bumi yang berlaku malam tadi dan hari ini, walaupun gegaran dekat pantai New Zealand itu menyebabkan tsunami kecil setempat.
Gempa bumi terbaru berukuran 5.8 pada skala Richter pagi ini menggegarkan Tonga sewaktu pihak berkuasa kecemasan di pulau-pulau negara itu menyiarkan amaran gempa bumi olok-olok sebagai sebahagian simulasi di seluruh rantau Pasifik.
Gempa bumi tersebut adalah yang terbaru daripada beberapa gegaran susulan yang melanda Tonga sejak berlaku gempa bumi pada 7.8 skala Richter, 4 Mei lalu.
Ke utara New Zealand, gempa bumi pada 7.5 skala Richter di dasar Lautan Pasifik Selatan menggegarkan satu kawasan yang luas di negara itu semalam.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi tersebut berlaku pada 10.39 malam tadi waktu tempatan (6.39 petang semalam waktu Malaysia), kira-kira 145 kilometer di bawah dasar laut dan berpusat kira-kira 1,140 kilometer ke timur laut bandar di Auckland.
Lewat malam tadi, satu gempa bumi pada 6.8 skala Richter melanda barat Indonesia. Gegaran itu berlaku pada 10.28 malam (11.28 malam tadi waktu Malaysia) dekat pantai Pulau Nias, 1,000 kilometer ke barat laut Jakarta.
New Zealand antara lebih 24 negara yang menyertai latihan dari semalam sehingga hari ini untuk menguji sistem amaran tsunami Pasifik yang diwujudkan sejak 1965
|