WASHINGTON: Pencerobohan ke atas Iraq pada Mac 2003 oleh tentera asing diketuai Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab di atas kematian sekurang-kurangnya 250,000 penduduk awam, menurut himpunan kajian saintifik atau keterangan saksi. Majoriti kematian termasuk disebabkan sebab semula jadi, sakit dan kemalangan, ialah di kalangan wanita dan kanak-kanak, menurut kajian yang disiarkan oleh jurnal perubatan, The Lancet. Laporan itu berdasarkan usaha sepasukan penyelidik dari Universiti Johns Hopkins dan Universiti Columbia di Amerika Syarikat dan Universiti Al-Mustansiriya di Baghdad. Kaedah sama digunakan pada lewat tahun 1990-an untuk mengira angka kematian akibat peperangan di Kosovo yang dianggarkan berjumlah 10,000 orang. Maklumat diperoleh ketika pasukan dari Iraq menemubual 808 keluarga mengandungi 7,868 ahli di 33 'gugusan' atau kawasan kejiranan berbeza di seluruh negara itu.Dalam setiap kes, mereka ditanya berapa banyak kelahiran dan kematian berlaku di rumah masing-masing sejak Januari 2002. Maklumat kemudiannya dibandingkan dengan kadar kematian di setiap kawasan kejiranan dalam masa 15 bulan sebelum pencerobohan dilancarkan untuk menyingkirkan bekas Presiden Saddam Hussein.Punca utama kematian ialah hasil secara langsung 'budaya keganasan' yang semakin buruk, kebanyakannya disebabkan serangan udara terancang AS dan berkaitan dengan pencerobohan tentera.Malah kajian mendapati risiko kematian akibat keganasan sejurus selepas pencerobohan ialah 58 kali ganda lebih tinggi berbanding sebelum serangan. Keseluruhan risiko kematian ialah 1.5 kali ganda lebih tinggi selepas pencerobohan berbanding sebelumnya.Kehadiran tentera AS berterusan juga mencetuskan ketegangan yang semakin buruk selain pemusnahan alam sekitar besar-besaran serta masalah kesihatan awam berkaitan dengan pengeboman yang membebaskan radioaktif dan pencemaran mengancam nyawa lain. Tentera AS turut dikecam kerana tidak berusaha memperbaiki infrastruktur berkaitan perkhidmatan asas penting termasuk memusnahkan sistem pengairan. |