BANGKOK 11 April - Hanya seminggu selepas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengumumkan peletakan jawatannya, parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinan beliau hari ini bertekad bahawa Thaksin akan kembali menjadi pemimpin negara itu dalam tempoh setahun akan datang. Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti TRT di sini, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suriya Jungrungreangkit berkata, beliau percaya bahawa Thaksin akan kembali berkuasa dalam tempoh setahun ini.
Menurutnya, kepulangan Thaksin ke dalam arena politik nanti akan membuatkan penentang-penentang Thaksin terpaksa berputih mata.
Seorang timbalan jurucakap TRT, Pimuk Simarot memberitahu pemberita, buat masa ini, TRT akan memberikan kerjasama kepada kepimpinan baru agar mereka dapat melaksanakan keputusan kerajaan secara bebas.
Dalam pilihan raya minggu lalu, TRT meraih lebih 50 peratus undi.
Namun demikian, atas desakan bertubi-tubi daripada pihak pembangkang, beliau akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Thailand sekali gus meredakan kemelut politik yang berlarutan selama beberapa bulan.
Di sebalik pengunduran Thaksin sebagai Perdana Menteri Thailand, beliau masih mempunyai sokongan kuat khususnya jutaan penduduk miskin di kawasan pedalaman.
Biarpun Thaksin telah meletakkan jawatan, pihak pembangkang masih mengancam untuk meneruskan tunjuk perasaan secara besar-besaran melainkan beliau meninggalkan Parlimen dan berundur sepenuhnya dari arena politik.
|