TEHERAN 11 April - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berikrar beliau tidak akan berganjak sama sekali dalam soal pembangunan program nuklear sambil menegaskan Teheran akan ''menyertai kelab negara-negara yang mempunyai teknologi tenaga nuklear.'' Mahmoud membuat kenyataan itu semalam sementara Amerika Syarikat (AS) menafikan laporan bahawa ia kini merancang untuk melancarkan serangan ke atas Iran.
Dalam ucapan tegas yang mempertahankan pendirian Iran, 15 hari sebelum tarikh akhir ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahmoud juga menjanjikan ''berita nuklear yang sangat baik dalam beberapa hari akan datang.''
''Iran akan menjadi anggota kelab negara teknologi nuklear. Kesamarataan ini akan memihak kepada rakyat Iran,'' kata beliau dalam ucapannya di timur laut Iran hari ini.
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei dijadual melawat republik Islam itu.
''Yakinlah bahawa kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat akan mengikut kehendak rakyat dengan kebijaksanaan dan kekuatan dan tidak akan berganjak sedikit pun,'' kata Presiden dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen kerajaan.
''Musuh-musuh menyedari mereka tidak dapat merosakkan negara kita dan mereka tidak berupaya menghalang kemajuan negara kita,'' tegas beliau.
''Mereka tidak mampu menghalang negara kita,'' kata beliau.
Seorang pegawai tentera berkata, berita baik itu melibatkan perkembangan dalam kegiatan pengayaan uranium.
Iran menyangkal dakwaan ia mahu membina senjata atom dan setakat ini menolak tuntutan Majlis Keselamatan supaya Teheran membekukan kegiatan pengayaan uranium yang dianggap sensitif.
Kenyataan Mahmoud itu dibuat ketika timbul laporan baru di AS mengatakan Presiden George W. Bush sedang merancang tindakan ketenteraan bagi memusnahkan program nuklear Iran.
Majalah New Yorker dalam keluaran 17 April melaporkan, pentadbiran Bush merancang kempen pengeboman besar-besaran termasuk penggunaan bom nuklear untuk memusnahkan sebuah kemudahan nuklear utama di Iran.
Kelmarin akhbar Washington Post mendakwa Bush sedang mengkaji pilihan bagi melancarkan serangan ketenteraan sebagai sebahagian strategi lebih luas untuk menekan Teheran menerusi diplomasi berunsur paksaan.
Bush menyifatkan laporan-laporan itu sebagai 'spekulasi liar' dan menegaskan tumpuan masih ke arah mencari penyelesaian secara diplomatik.
Semalam Kesatuan Eropah pula diminta mengenakan sekatan ke atas Iran.
|