JAKARTA 13 April - Polis Indonesia meminta majalah Playboy tidak diterbitkan lagi bagi mengelakkan kemarahan masyarakat Islam. Pengarah syarikat penerbit majalah itu, Ponti Carolus berkata, pihaknya akan mempertimbangkan permintaan itu.
''Bagi kami 24 jam dan kami akan memberi keputusan,'' katanya selepas pertemuan dengan pihak polis. Kami gembira kerana memperoleh input daripada polis. Ia amat berfaedah,'' katanya.
''Kami telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan editor Playboy bagi membolehkan kami mencapai persetujuan melewatkan penerbitan edisi kedua bagi mengelakkan tercetus lebih banyak reaksi,'' kata Ketua Polis Jakarta, Jeneral Firman Gani.
Pihak polis dan pegawai kerajaan berkata, mereka tiada undang-undang bagi mengharamkan majalah terbabit.
Sementara itu kumpulan-kumpulan Islam berikrar meningkatkan bantahan terhadap penerbitan majalah tersebut.
Setakat ini bantahan dianggap masih kecil terhadap majalah yang dilancarkan minggu lalu dan telah diubah suai penerbitannya, tetapi telah habis terjual di pasaran.
''Insya-Allah kami akan meningkatkan tekanan sehingga majalah ini dihentikan penerbitannya,'' kata Abdullah Fanani , wakil kumpulan yang mengadakan bantahan hari ini.
''Ini akan menggalakkan pornografi,'' tegasnya.
|