Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice berkata semalam, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menimbang pelbagai langkah bagi memaksa Iran 'mematuhi kehendak sistem antarabangsa'.
Beliau secara terbuka menyuarakan kemungkinan Iran menghadapi sekatan Majlis Keselamatan badan dunia itu, jika masih enggan mengubah haluan.
Teheran baru-baru ini mengumumkan kejayaannya menjalankan proses pengayaan uranium bagi keperluan reaktor nuklear.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei yang melawat Iran semalam gagal meyakinkan Teheran supaya membekukan program nuklearnya.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan dialog secara intensif.
Dalam pada itu, China menghantar Timbalan Menteri Luarnya, Cui Tiankai ke Teheran untuk membantu menyelesaikan krisis itu.
Di Teheran, pemimpin Iran menolak ancaman terhadap sekatan yang hendak dikenakan atau melancarkan serangan ketenteraan terhadap negara mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas rejim tersebut menolak rayuan Mohamed untuk membekukan program pengayaan uranium dan menyangkal dakwaan terhadap penghasilan bom nuklear.
''Hari ini kita amat bersyukur kerana negara Iran cukup berkuasa dan kita akan mengadakan dialog dengan dunia luar,'' menurut Presiden Iran, Ahmadinejad menerusi ucapan di timur laut negara itu.
Mohamed mengadakan lawatan ke Teheran semalam selepas Iran mengumumkan ahli sains negaranya berjaya melakukan pengayaan uranium bagi menghasilkan bahan bakar daripada nuklear, biarpun Majlis Keselamatan PBB menuntut supaya ia dihentikan pada 28 April ini.
Iran pula menyatakan mereka hanya mahu menjanakan tenaga atom.
Ketua rejim tertinggi, Ayatollah Ahmad Jannati menerusi khutbah Jumaat berkata, kekuasaan AS telah merosot dan menunjukkan Iran tidak sama dengan Iraq atau Afghanistan.
''Musuh perlu tahu, Iran tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana negara di dunia. Kini kita lebih berkuasa daripada sebelum ini,'' katanya.
Beliau turut menyatakan Iran tidak perlu takut dengan ugutan Barat