BAITULMAQDIS 18 April - Israel menganggap kerajaan Palestin pimpinan Hamas bertanggungjawab terhadap serangan pengebom berani mati di Israel semalam dan menimbangkan sama ada hendak mengisytiharkannya sebagai ''entiti musuh'' sekalipun serangan itu dilancarkan oleh pergerakan lain. Letupan di sebuah restoran makan segera di Tel Aviv semalam membunuh sembilan orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.
Askar dikerahkan di seluruh Israel kerana bimbang lebih banyak serangan dilancarkan.
Penyerang berani mati, seorang bekas pelajar universiti di Tebing Barat, dihantar oleh Jihad Islam yang disokong oleh Iran.
Perdana Menteri baru Israel, Ehud Olmert mengadakan mesyuarat dengan menteri-menteri Kabinet utama dan ketua agensi keselamatan hari ini untuk membincangkan tindakan balas.
Satu cadangan yang dibangkitkan adalah untuk menganggap kerajaan Hamas bertanggungjawab secara langsung terhadap serangan itu dan mengisytiharkannya sebagai ''entiti musuh'', kata seorang pegawai Israel.
|