TEHERAN 28 April - Kira-kira 24 jam sebelum pembentangan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mengejutkan dunia dengan mengatakan negaranya boleh menjadi sebuah kuasa besar dunia tidak lama lagi. Media rasmi Iran melaporkan kenyataan itu hari ini sewaktu Teheran tidak menghiraukan tuntutan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya program pengayaan uraniumnya dibekukan.
''Kejayaan Iran ke arah menghasilkan tenaga nuklear bagi kegunaan awam begitu penting sehingga boleh mengubah keseimbangan kuasa dunia'' kata Mahmoud semasa lawatan ke wilayah Zanjan, utara Iran semalam.
''Jika kita yakin dengan diri sendiri, republik Islam Iran memiliki keupayaan untuk menjadi sebuah kuasa besar dunia dalam tempoh terdekat,'' tegas beliau.
Duta Iran ke PBB, Javad Zarif pula menegaskan, Teheran tidak akan mematuhi sebarang resolusi Majlis Keselamatan yang bertujuan untuk menghalang program pengayaan uraniumnya kerana ia tidak menyalahi undang-undang.
Kata Javad, beliau menjangka Amerika Syarikat (AS) mengenakan tekanan hebat bagi memaksa Majlis Keselamatan mengambil satu lagi keputusan berpandangan singkat selepas Ketua Pengarah IAEA, Mohamed ElBaradei menyiarkan laporannya hari ini.
|