SLEMAN, Indonesia 25 April - Penduduk di sekitar gunung berapi Merapi di Yogyakarta yang telah mengeluarkan asap sejak dua minggu lalu hari ini hanya akan berpindah dari kawasan tersebut apabila gunung itu menunjukkan tanda-tanda 'semula jadi' akan meletus atau jika mereka diarah berpindah. Sebelum ini, Gabenor Wilayah Yogyakarta Sri Sultan Hamengku Buwono X, telah menggesa penduduk setempat berpindah dari kaki gunung itu yang telah membunuh 60 nyawa pada letusan tahun 1994 dan 1,300 orang pada tahun 1930. Namun setakat ini, masih tiada arahan rasmi dibuat yang meminta penduduk terbabit berpindah ke kawasan selamat.
''Saya dengar gesaan dari Sultan, tetapi dia bukan Tuhan,'' kata pemilik gerai di sebuah kampung di Sleman yang hanya mahu dikenali sebagai Atmorejo.
''Haiwan-haiwan juga masih belum meninggalkan kawasan sekitar,'' tambahnya. Kebanyakan penduduk di sekitar Gunung Merapi percaya secara tradisinya, gunung itu akan meletus apabila haiwan mula meninggalkan kawasan berkenaan atau panahan petir kelihatan dari atas puncak gunung tersebut. |