BANDAR GAZA 23 April - Pergerakan Fatah dan kumpulan militan Hamas bersetuju dalam satu pertemuan awal hari ini untuk berusaha meredakan ketegangan yang telah mencetuskan pertempuran sengit dan bantahan besar-besaran di seluruh kawasan Palestin. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah mengarahkan pasukan keselamatannya supaya membatalkan perhimpunan besar-besaran untuk menentang Hamas hari ini demi mengelak daripada menyemarakkan lagi ketegangan antara kedua-dua pihak.
Beribu-ribu anggota pasukan keselamatan dijangka menghadiri perhimpunan itu di tengah Ramallah, dengan para penunjuk perasaan merancang untuk berarak dari bangunan Parlimen ke kubur pemimpin Palestin, Allahyarham Yasser Arafat. Pasukan keselamatan masih marah dengan ulasan ketua politik Hamas, Khaled Mashaal yang menuduh Mahmoud dan pergerakan Fatah pimpinannya sebagai pengkhianat.
Khaled juga menuduh Mahmoud dan Fatah membuat pakatan untuk menentang kerajaan Hamas yang mengambil alih kuasa pada bulan lalu.
Ketegangan bagaimanapun dijangka berterusan dengan kedua-dua pihak enggan menarik balik tuntutan-tuntutan mereka dalam perebutan kuasa ke atas pasukan keselamatan Palestin.
Pergolakan itu berlaku ekoran pengumuman Mahmoud baru-baru ini untuk mengambil alih kuasa ke atas kesemua enam pasukan keselamatan Palestin.
Hamas bertindak balas dengan mengumumkan rancangannya untuk menubuhkan pasukan tenteranya sendiri, yang terdiri daripada anggota-anggota militan dan diketuai oleh seorang pelarian kanan yang diburu oleh Israel sejak beberapa tahun lalu.
Bantahan Mahmoud terhadap rancangan Hamas telah mendorong Khaled menuduh Presiden itu bekerjasama dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) dan ''membuat pakatan untuk menentang Hamas.''
Para pemimpin Fatah bertindak balas dengan menuduh Khaled ''merancang untuk mencetuskan perang saudara.''
Berpuluh-puluh ribu penyokong Fatah kemudiannya melancarkan bantahan di Tebing Barat dan Genting Gaza untuk menuntut Khaled supaya meminta maaf.
Pertempuran sengit turut berlaku di Bandar Gaza, menyaksikan para pengikut Hamas dan Fatah berbalas- balas tembakan dan melontar bom tangan dan juga bom api.
Beratus-ratus pelajar universiti juga melontar batu ke atas sebuah tembak yang memisahkan sekolah- sekolah yang ditadbir oleh Hamas dan Fatah.
Sekurang-kurangnya 15 orang cedera dalam kejadian itu, dengan dua daripada mereka parah.
Beratus-ratus penyokong Fatah juga berarak ke Parlimen Gaza sambil melontar batu yang menyebabkan cermin tingkap di sebuah bangunan kerajaan pecah.
Di kawasan-kawasan lain di sekitar Gaza dan Tebing Barat, berpuluh- puluh ribu penyokong Fatah melancarkan perarakan sambil mengecam Khaled sebagai ''binatang keji''.
Di bandar Nablus di Tebing Barat, penyokong Fatah turut menduduki bangunan kerajaan.
|