BAITULMAQDIS 11 April - Kabinet Israel hari ini mengumumkan secara rasmi berakhirnya era pemerintahan bekas Perdana Menteri Ariel Sharon selama lima tahun, dengan mengisytiharkan dirinya ''hilang upaya kekal.'' Pengumuman itu juga mengesahkan kedudukan Ehud Olmert sebagai Perdana Menteri.
Beliau mengambil alih pemerintahan Israel selepas Sharon, 78, diserang strok setelah mengalami pendarahan otak yang teruk, yang menyebabkan dirinya berkeadaan koma sejak 4 Januari lalu.
Olmert, yang membimbing Parti Kadima berhaluan tengah ke arah kemenangan dalam pilihan raya umum Israel bulan lalu, berkata beliau berharap kedudukannya sendiri sebagai pemangku perdana menteri tidak akan berkekalan.
''Saya berharap keputusan hari ini hanyalah untuk jangka waktu yang singkat,'' katanya kepada menteri-menteri Kabinet.
''Kita sedang sibuk membentuk kerajaan baru Israel,'' tambahnya.
Kedudukan Olmert bagaimanapun hanya akan berubah pada 14 April selepas berakhirnya tempoh 100 hari perkhidmatannya sebagai pemangku Perdana Menteri seperti yang disyaratkan oleh undang-undang Israel.
|