BAITULMAQDIS: Kerajaan baru Palestin yang diterajui pemimpin pergerakan Hamas menghadapi masalah mencari bank yang sedia menguruskan kewangannya selepas pegawai Amerika Syarikat dan Eropah memberi mesej kepada bank serantau supaya tidak memberi kerjasama. Sumber diplomatik Barat yang meminta identiti mereka dirahsiakan berkata, Hamas cuba memindahkan akaun perbendaharaan yang sebelum ini menggunakan Bank Arab di Jordan, kepada sebuah bank Palestin bagi mengurangkan risiko dananya dibekukan.Bank Arab sehingga ini belum memberi ulasan. Tetapi, kata sumber itu, bank lain menolak rancangan pemimpin Hamas kerana keadaan kewangan Pihak Berkuasa Palestin (PA) lemah selain bimbang menghadapi tindakan agensi kewangan Amerika dan Eropah.''Tekanan dibuat ke atas semua yang boleh ditekan,'' kata sumber yang mengetahui usaha Barat 'mencekik' sistem perbankan Palestin.
Sumber itu juga berkata, pegawai Amerika dan Eropah sudah memberitahu bank serantau termasuk penderma dengan berkata'' ''Jika tidak boleh putuskan sumber kewangan, sekurang-kurangnya perlahankan sebarang pembiayaan.''Kelmarin, pentadbiran baru Palestin mengakui tidak dapat membayar gaji 140,000 pekerja dan perbelanjaan lain. Pegawai Hamas berkata, masalah kewangannya adalah sebahagian kempen Barat terhadapnya.Sebagai jalan keluar, seorang menteri Kabinet berkata, Hamas tidak akan membantah pekerja PA membuka akaun peribadi supaya penderma Arab dan Eropah dapat memberi gaji terus kepada mereka.Turut sama dalam kempen Barat itu ialah bank terbesar Israel, Bank Hapoalim yang juga mahu memutuskan hubungan bank di antara Israel dan Palestin dalam masa tiga bulan lagi dan ini mungkin diikuti dengan sebuah lagi bank iaitu Bank Discount. Memburukkan lagi keadaan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri, Ismail Haniyeh terbabit dalam pergaduhan baru mengenai kawalan keselamatan di lintasan sempadan Gaza. Pada masa sama, Mahmoud juga bersengketa dengan Israel selepas jet pejuang Yahudi membedil perkarangan rumahnya manakala beberapa kereta kebal Zionis melancarkan bedilan menyebabkan beberapa orang maut termasuk seorang wanita dan anaknya berusia enam bulan. Selain itu, di Ramallah, polis Israel menahan seorang anggota Kabinet Palestin, kali pertama anggota keselamatan Yahudi menahan seorang pegawai kerajaan pimpinan Hamas.Menteri Hal Ehwal Baitulmaqdis, Khaled Abu Arafa, ditahan bersama pengawal peribadinya ketika dalam perjalanan ke Izzariya, pinggir Baitulmaqdis. Abu Arafa, bagaimanapun, dibebaskan beberapa jam kemudian |