CILACAP 19 April - Seorang militan yang menantikan hukuman mati kerana terlibat dalam serangan bom di Bali pada 2002 mendakwa dia telah diseksa untuk memaksanya mengaitkan guru agama, Abu Bakar Bashir dengan serangan tersebut. Amrozi Nurhasyim membuat dakwaan itu hari ini semasa perbicaraan di mahkamah untuk mendengar rayuan Abu Bakar terhadap hukuman penjara dua tahun setengah yang dijatuhkan ke atasnya kerana bersubahat dengan serangan itu.
''Kami semua diseksa untuk mengatakan kami diarah oleh Abu Bakar Bashir (supaya melancarkan serangan),'' kata Amrozi kepada mahkamah.
''Tetapi orang tua ini tidak ada hubungan dengan keganasan,'' katanya tanpa mengulas lanjut tentang dakwaan diseksa itu.
Polis menafikan mereka menyeksa atau mendera lebih 30 anggota militan yang ditahan berhubung serangan di Bali.
Amrozi yang diberi gelaran 'pengebom tersenyum' kerana sikapnya yang suka bermegah dengan letupan itu tiba di mahkamah setelah dibawa dengan bot dari penjara di sebuah pulau berhampiran.
Ketibaannya disambut dengan laungan takbir oleh kira-kira 100 penyokongnya.
Lebih 400 anggota polis ditempatkan di bangunan mahkamah di Cilacap, pantai selatan Pulau Jawa.
Abu Bakar yang tidak hadir di mahkamah dijadual dibebaskan pada Jun ini selepas tempoh hukumannya berakhir dan peguamnya mengakui panel hakim tidak mungkin membuat keputusan mengenai rayuannya sebelum tarikh itu.
Namun kemenangan bagi Abu Bakar yang dituduh oleh Amerika Syarikat (AS) dan Australia sebagai pemimpin utama Jemaah Islamiah (JI) mempunyai nilai simbolik bagi puak militan di Indonesia.
Para peguamnya merancang untuk meneruskan rayuan itu sekalipun selepas Abu Bakar dibebaskan pada Jun ini.
Semasa perbicaraan asal kes guru agama itu, pendakwa raya berkata Amrozi ada menziarahi Abu Bakar tiga bulan sebelum serangan di Bali untuk meminta restunya.
Abu Bakar, 70, telah merestui serangan itu, kata pendakwa raya dengan memetik pengakuan yang dibuat oleh Amrozi kepada polis.
|