BAGHDAD 26 April - Ketua Al-Qaeda di Iraq, Abu Musab Al-Zarqawi menunjukkan mukanya buat kali pertama dalam satu rakaman video yang disiarkan semalam. Dalam rakaman itu, Abu Musab menyelar kerajaan baru Iraq sebagai boneka Amerika Syarikat (AS) dan menggambarkannya sebagai pisau beracun di tengah-tengah dunia Islam. Dia turut memberi amaran lebih banyak serangan akan dilancarkan dalam rakaman tersebut yang disiarkan di Internet beberapa hari selepas proses politik Iraq mencapai kemajuan besar yang membolehkan para pemimpin Syiah, Sunah dan Kurdisnya memulakan pembentukan kerajaan.
Mesej itu adalah yang pertama daripada Abu Musab sejak Januari lalu dan menyusuli penyiaran rakaman suara daripada Osama bin Laden.
Seorang pegawai antikeganasan AS memetik penganalisis sebagai berkata, Abu Musab menunjukkan mukanya untuk membuktikan bahawa dia masih aktif sebagai pemimpin jihad.
Rakaman tersebut juga dipercayai percubaan Abu Musab untuk menyeru gerila Iraq dan pejuang asing supaya menyebelahinya ketika pegawai AS dan Iraq memaparkan kemajuan proses politik sebagai satu tamparan bagi gerila.
Abu Musab muncul dalam rakaman 34 minit yang menurutnya dibuat pada Jumaat lalu dengan berpakaian serba hitam.
Ketua Al-Qaeda itu memberi amaran kepada masyarakat Arab Sunah di Iraq dan di seluruh dunia Arab bahawa komuniti mereka dalam bahaya tersepit antara 'tentera salib (Amerika) dengan golongan kafir (Syiah)'.
''Allah telah memilih kamu (kaum Sunah) untuk melancarkan jihad di tanah air kamu dan membuka pintu syurga kepada kamu. Kerana itu jangan tutup pintu-pintu itu.
''Mereka menyembelih anak-anak kamu dan mengaibkan kaum wanita kamu,’’ katanya.
|